BANGI, 14 ZULHIJJAH — Aktivis keselamatan jalan raya, Azlan Sani Zawawi membidas kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mahu menawarkan khidmat nasihat dan kepakaran teknikal ekoran tragedi nahas yang meragut nyawa 15 nyawa pelajar Universiti Penguruan Sultan Idris (UPS) baru-baru ini.
Menurut Azlan atau lebih dikenali sebagai ‘Lando’, JKR, agensi di bawah naungan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang sebenarnya perlu diberi nasihat.
Lando berkata, ini kerana aduan berhubung lokasi insiden di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) itu sudah lama diutarakan, malah peruntukan penambahbaikan telah pun diumumkan beberapa tahun sebelum kejadian itu berlaku.
“Saya fikir yang memerlukan nasihat dan teguran berpanjangan ini adalah pihak KKR dan JKR.
Sebab aduan di lokasi tersebut sudah lama malah peruntukan penambahbaikan telah dicanangkan beberapa tahun sebelum kejadian,” katanya kepada TV Pertiwi.
Lando berkata demikian bagi mengulas kenyataan oleh Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi yang sebelum ini menyatakan bahawa pihak konsesi penyelenggaraan akan memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal susulan nahas tersebut.
Pada 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk kerja-kerja naik taraf JRTB.
Bagaimanapun, peruntukan dana itu kini menjadi persoalan ramai apabila insiden nahas yang mengorbankan 15 mahasiswa UPSI itu berlaku pada 9 Jun lepas.
Malah, insiden itu merupakan nahas kedua di JRTB dalam tempoh sebulan.
Pada 10 Mei lepas, seekor anak gajah mati digilis sebuah lori ayam di Gerik dalam satu kejadian yang mendukakan pencinta haiwan sedunia apabila ibu gajah itu dirakam menunggu anaknya yang terperosok di bawah lori.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula memaklumkan akan membawa isu keselamatan di JRTB ke Kabinet pada 11 Jun.
Lando bagaimanapun menegaskan bahawa kenyataan politik tidak lagi memadai tanpa bukti pelaksanaan yang nyata.
“Pada saya sebarang kenyataan daripada orang politik perlu dibuktikan terlebih dahulu. Ini kerana beliau sebenarnya sudah memaklumkan perkara yang sama ketika kejadian tragedi bas jatuh tebing di Genting Highland.
“Beliau telah maklum 51 tuntutan daripada kumpulan pemerhati tragedi Genting malah bersetuju untuk menyegerakan penguatkuasaan yang lebih rapi terhadap tata cara operator kenderaan pengangkutan awam termasuk mewajibkan tali pinggang dalam bas persiaran,” katanya.
Lando dalam pada itu berkata, fungsi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu dikembalikan bagi memastikan pemantauan yang lebih tegas, selain menegaskan bahawa kempen keselamatan jalan raya wajar diperkasakan dan diterapkan lebih awal di peringkat sekolah secara lebih berkesan.
SPAD dimansuh dan digantikan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) oleh Anthony semasa pentadbiran Pakatan Harapan 1.0.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi