Tragedi pelajar UPSI: PN desak tubuh suruhanjaya siasatan bebas

BANGI, 13 ZULHIJJAH — Perikatan Nasional (PN) mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan bebas untuk menyiasat nahas bas yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, ini bertujuan mengenal pasti kelemahan sistemik yang perlu diperbaiki secara menyeluruh.

Menurutnya, suruhanjaya itu seperti yang ditubuhkan bagi kemalangan maut Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, baru-baru ini yang beliau turut anggotai.

“PN juga akan membawa isu ini ke Parlimen dalam sesi terdekat bagi memastikan kerajaan tidak memandang ringan terhadap aspek keselamatan pengangkutan awam, terutama apabila melibatkan pelajar dan generasi muda negara. Nyawa rakyat bukan statistik. Ia adalah amanah.

“Bagi penyelesaian jangka panjang seharusnya mengambil pendekatan “whole-of-government” (keseluruhan kerajaan), tidak lagi berkisar di peringkat Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut menyifatkan nahas bas di Gerik, Perak sebagai tamparan hebat terhadap sistem keselamatan pengangkutan awam negara dan tidak boleh dianggap sebagai kejadian terpencil.

Katanya, PN yang memandang serius kejadian itu menggesa Kerajaan Madani mengambil langkah tegas dengan segera bagi mencegah berulang pada masa depan. 

Sementara itu, katanya PN turut mengemukakan beberapa cadangan seperti kerajaan perlu menyemak semula dan memperkukuh penguatkuasaan peraturan sedia ada yang mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar.

“Perkara itu telah dimasukkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan: Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019, terutama bagi bas yang dibina selepas 1 Januari 2020. PN juga mencadangkan agar sistem ini diperluas ke semua bas sedia ada demi keselamatan maksimum,” katanya..

Beliau turut menggesa supaya sistem pemantauan pemandu bas diperluas daripada hanya  Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada satu sistem senarai hitam antara agensi. 

“Ini membolehkan pemandu yang mempunyai rekod kecuaian atau pelanggaran serius dikenal pasti dan disekat daripada terus beroperasi tanpa pemantauan ketat,” katanya.

Selain itu, katanya PN mencadangkan mewajibkan pemasangan sistem GPS/telematik bagi semua bas, serta memanfaatkan teknologi AI (Kecerdasan Buatan) sebagai pemudah cara dengan data seperti kelajuan, lokasi, dan masa operasi perlu dipantau secara langsung oleh agensi penguatkuasa untuk mengelakkan kelalaian atau pelanggaran SOP.

Menurutnya, PN juga mencadangkan kerajaan mengadakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua syarikat bas ekspres dan bas sewa khas pelajar secara berkala, termasuk penilaian ke atas penyelenggaraan kenderaan dan latihan pemandu.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wartawan, tiga petugas perubatan terkorban dalam misi menyelamat

Next Post

Dulu lantang, kini diam? – PAS persoal sikap DAP berkaitan kes PMX

Related Posts