BANGI, 13 ZULHIJJAH – Permainan politik secara berterusan melibatkan parti komponen Kerajaan Madani dilihat hanya menghakis kepercayaan anak muda terhadap kepimpinan negara, kata Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai.
Bercakap dengan TV Pertiwi, beliau menjangkakan situasi ini hanya akan menyebabkan golongan muda semakin kurang minat untuk mengambil tahu perkembangan politik semasa sekali gus meningkatkan lagi jumlah pengundi atas pagar menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, kemelut perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR – salah satu parti komponen utama dalam kerajaan – antara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar disifatkan sebagai permainan politik dalaman yang tidak munasabah.
Malah, tindakan Rafizi yang kemdiannya mengundurkan diri daripada jawatan Menteri Ekonomi ekoran kekalahan dalam pemilihan parti itu juga dilihat telah mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan anak muda.
“Bagi persepsi rakyat, jika seorang menteri yang memegang portfolio penting hilang kuasa ataupun terpaksa letak jawatan disebabkan peraturan parti, sudah tentu anak muda merasakan ini perkara yang tidak baik dan tidak munasabah.
“Ini sekaligus memberi cerminan negatif terhadap PKR dan juga kepimpinan negara itu sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai perjuangan Reformasi yang dilaungkan sejak 1998, Tharma akui terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira seperti pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri memandangkan kerajaan hari ini terbentuk hasil daripada beberapa parti terdiri daripada gabungan berbeza.
Namun begitu, beliau berkata, terdapat juga beberapa perkara yang sukar diterima oleh penyokong Pakatan Harapan seperti pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, perkara ini menjadi isu apabila Azam sebelum ini menjadi ‘bahan’ kempen PH yang mana pemimpin hari ini melemparkan begitu banyak tuduhan terhadapnya dan menjanjikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan digantikan dengan individu yang lebih ‘layak’.
“Mereka (pemimpin PH) yang bawa isu tentang Azam Baki. Mereka yang kata bahawa individu ini korup, melakukan perkara yang tak baik, salah guna kuasa dan sebagainya.
“Banyak fitnah dan tohmahan yang dilimpahkan terhadap Azam Baki tetapi orang yang sama bila naik ke tampuk kuasa meneruskan kontraknya,” katanya.
Justeru, Tharma membuat kesimpulan bahawa persepsi anak muda hari ini melihat bahawa proses reformasi tidak berlaku seperti yang dijanjikan.
Tambah beliau, sekiranya kerajaan hari ini ingin kembali memulihkan reputasi, maka pemimpin hari ini perlu melaksanakan reformasi seperti yang dijanjikan ketika mereka berada di blok pembangkang.
Ditanya sekiranya situasi semasa boleh mempengaruhi keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Tharma berkata, masih terlalu awal untuk membuat jangkaan sentimen.
Katanya, kebiasaannya, sentimen ini dapat dilihat dalam tempoh enam bulan atau setahun sebelum PRU.
“Untuk mana-mana gabungan politik akan adanya penyokong setia dan jika parti-parti dalam PH tidak dapat menunaikan janji yang mereka nyatakan sebelum ini ataupun nampak bahawa mereka tidak serius dalam melaksanakan reformasi, maka penyokong setia PH itu sendiri akan rasa mereka tidak cukup semangat.
“Dan apabila penyokong PH tidak cukup semangat, maka itu akan memberikan kesan kepada jentera PH untuk tawan pengundi atas pagar.
“Itu realitinya yang akan menyukarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga rakan-rakan politik mereka untuk terus menang PRU-16,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi