BANGI, 2 ZULHIJJAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset dan barangan mewah bernilai kira-kira RM32 juta, dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.
Tindakan itu diambil susulan siasatan berhubung penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, sitaan tersebut melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai serta beberapa unit kediaman mewah.
Sitaan dilakukan selepas Bahagian Siasatan SPRM menjalankan penggeledahan di dua kediaman milik individu terbabit di ibu negara pada Khamis, kata sumber seperti dilaporkan Sinar Harian.
Hasil penggeledahan, SPRM menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5 juta, 27 unit tas tangan berjumlah lebih RM1 juta serta barangan kemas bernilai melebihi RM4 juta.
“SPRM turut merampas sembilan buah kenderaan mewah termasuk Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover dengan nilai keseluruhan hampir RM7 juta,” katanya.
Sumber juga memaklumkan, pihak SPRM menemui sebuah stor simpanan mengandungi pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di salah satu kediaman terbabit, yang dianggarkan bernilai sekitar RM3 juta.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi