BANGI, 2 ZULHIJJAH — Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki perlu menjawab pelbagai isu berkaitan dengan institusi itu dan bukan menyaman Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tindakan Asyraf itu dilihat sebagai cubaan untuk mengalih perhatian daripada persoalan pokok yang masih belum dijawab.
“Asyraf dan MARA tidak boleh dilihat seolah-olah cuba mengelak daripada menjawab soalan-soalan melibatkan kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asyraf sebelum ini memaklumkan pihak MARA akan mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Mas Ermieyati selepas Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengkritik kelewatan dan kelemahan pinjaman pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah MARA.
Tun Faisal berkata, Asyraf sebelum ini gagal hadir dalam dua sesi mediasi yang telah dijadualkan oleh mahkamah berhubung kes tular membabitkan dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping.
“Adakah Asyraf mengelak dari membolehkan kes ini diselesaikan dengan pantas? Jika benar, ini menimbulkan persoalan tentang kesungguhan Asyraf menyelesaikan isu-isu awam secara profesional dan berhemah, serta komitmen beliau terhadap proses keadilan,” katanya.
Susulan tindakan saman itu, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob turut mengkritik Asyraf selain menyokong siasatan terbuka jika benar berlaku pembaziran dana MARA.
“Beliau (Asyraf) selaku Pengerusi MARA – jawatan bukan eksekutif – dilihat mencampuri urusan eksekutif dan pelbagai perbelanjaan program MARA. Di Gerik ini contohnya, semua program kelihatan menonjolkan peranan beliau, termasuk merasmikan mesyuarat PIBG sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Asyraf tewas di kerusi Parlimen Gerik kepada Fathul Huzir yang juga kekalahan ketiganya dalam pilihan raya umum.
Faisal berkata, beberapa persoalan mengenai pendidikan di bawah MARA masih belum terjawab antaranya sama ada permohonan pinjaman pelajaran bagi pengambilan pelajar Mac 2025 sudah dibuka, selain isu tawaran pembiayaan kepada pelajar-pelajar TVET MARA.
“Adakah perbelanjaan jelajah dalam dan luar negara oleh YB Asyraf Wajdi dan/atau rombongan menggunakan dana awam MARA? Jika benar, berapakah jumlah keseluruhan dan siapa ahli rombongan yang terlibat?
“Mengapa masih ramai pelajar belum menerima jawapan rasmi MARA walaupun permohonan telah dibuat sejak awal tahun dan sesi pengajian telah bermula?”
Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dilantik sebagai Pengerusi MARA oleh pentadbiran Anwar Ibrahim.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi