BANGI, 29 ZULKAEDAH — Laporan penuh insiden kebakaran paip gas di Putra Heights di Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu, dijangka diketahui dan dibentangkan pada akhir Jun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan penuh itu akan dikemukakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersama laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) turut membantu JKKP menyediakan laporan akhir itu.
Katanya, siasatan berhubung kecuaian dan khianat dalam kes letupan gas itu telah selesai, namun dapatan penuh dijangka akan diketahui pada akhir Jun ini.
“Pihak polis masih menunggu siasatan penuh yang kini di bawah kendalian JKKP dan dibantu oleh SIRIM.
“Pada masa sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas berjaya mengeluarkan lima spesimen dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Sepang, hari ini.
Hussein berkata, spesimen terakhir dibawa keluar pada 8 Mei lalu dengan analisis lanjut membabitkan spesimen tersebut sedang dilaksanakan oleh JKKP.
Menurutnya, analisis melibatkan spesimen yang berjaya dibawa keluar itu merupakan satu perkara paling penting bagi mengenal pasti dan mendapatkan punca kejadian.
Sementara itu mengulas mengenai eskavator yang terbenam akibat letupan dalam kejadian itu, katanya kerja mengeluarkan jentera itu masih belum dilakukan.
“Walaupun sudah mengetahui kedudukan jentera pengorek tersebut, tetapi belum dapat dilaksanakan kerana kerja menstabilkan tanah sedang dilakukan selepas kerja pengorekan mencari spesimen.
“Kerja pengorekan membawa keluar eskavator itu akan dilaksanakan pada masa sesuai nanti, selepas kerja-kerja pemulihan selesai. Biarpun ia bukan satu keutamaan, tetapi kita tidak boleh mengetepikan perkara ini bagi proses siasatan,” ujarnya. – Sinar Harian
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi