Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 10 ZULKAEDAH — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menawarkan bantuan untuk meredakan ketegangan antara India dan Pakistan yang semakin memuncak berikutan kejadian serangan di wilayah Kashmir, baru-baru ini.
Trump mengeluarkan kenyataan mengenai situasi tersebut beberapa jam selepas India mengumumkan bahawa angkatan tentera negara itu telah melancarkan serangan terhadap Pakistan pada awal pagi Rabu.
“Ini suatu yang dahsyat. Saya mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara. Saya kenal kedua-duanya dengan baik dan mahu mereka selesaikan perkara ini.
“Saya mahu mereka hentikan dan harap mereka boleh hentikan sekarang,” katanya di Rumah Putih selepas majlis angkat sumpah bekas Senator Georgia, David Perdue sebagai Duta Amerika Syarikat ke China.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Amerika Syarikat mempunyai hubungan baik dengan India dan Pakistan dan tidak berpihak kepada mana-mana negara berkenaan.
Menurutnya, tindakan berbalas serangan antara kedua-dua negara perlu dihentikan dengan segera.
“Jika saya boleh bantu dalam apa-apa cara sekalipun, saya akan tampil membantu,” katanya.
Pada malam Selasa, Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih bahawa ketegangan antara India dan Pakistan bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kedua-dua negara itu telah lama terlibat dalam pertikaian yang berlarutan.
Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan konflik yang memuncak ketika ini sebagai perkara yang boleh dijangka berdasarkan sejarah hubungan kedua-dua negara.
Ketegangan itu semakin parah apabila India menuduh Pakistan bertanggungjawab terhadap serangan berdarah pada 22 April lalu, yang meragut nyawa 26 orang di kawasan Kashmir di bawah pentadbiran India.
India dan Pakistan saling menuntut wilayah Kashmir sebagai milik sah negara masing-masing. – CNBC
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi