Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 10 ZULKAEDAH – Kemelut Timbalan Presiden PKR yang kini membabitkan anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar disifatkan sebagai satu pelan peralihan yang teruk yang menonjolkan perebutan kuasa dalaman parti tersebut.
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dipecat pada tahun 2023 berkata, pelan peralihan kepimpinan parti itu sewajarnya dirancang lama dahulu bagi membuktikan parti tersebut bersedia untuk tempoh pasca kepimpinan Anwar.
Kemelut jawatan itu membabitkan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli dan dua lagi pemimpin utama yang disebut bertanding, Nurul Izzah dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Di satu sisi anda mencipta situasi krisis dengan Rafizi. Baru hendak selesai, tiba-tiba ada pula pihak dalam parti yang mengangkat Nurul Izzah.
“Ia menggambarkan perebutan kuasa dalam parti. Orang yang tidak suka Rafizi akan menggunakan Nurul Izzah sebagai senjata. Ini bukan pelan peralihan, tetapi hanya menunjukkan parti berpecah,” katanya kepada TV Pertiwi.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menjelaskan beliau mengambil cuti beberapa hari daripada tugas rasmi untuk memberi tumpuan kepada akar umbi parti disebalik kekalahan ramai pemimpin daripada faksi beliau di peringkat cabang dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Izzah dan Saifuddin pula masing-masing telah mengeluarkan kenyataan akan mempertimbangkan bertanding jawatan tersebut. Rafizi menang jawatan Timbalan Presiden PKR selepas menewaskan Saifuddin Nasution pada pemilihan parti lepas.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 5 Mei lalu mengesahkan memanggil mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Seri Perdana bagi membincangkan keputusan pemilihan parti itu yang dihadiri oleh Rafizi.
Nama Nurul Izzah dicadang bertanding jawatan Timbalan Presiden oleh pimpinan PKR di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak dan Melaka selain sayap parti seperti Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan.
Tian Chua yang juga susuk utama disebalik gerakan Reformasi selepas Anwar dipecat pada tahun 1998 berkata, kenyataan sokongan secara terbuka kepada Nurul Izzah adalah tidak perlu, dan ia bersifat politik yang tidak baik.
“Calonkan sahaja dan biarkan ahli buat keputusan. Kenapa perlu ketua-ketua cabang membuat kenyataan terbuka?, jelasnya.
Ujar bekas Ahli Parlimen Batu itu, tindakan tersebut tidak baik untuk imej Nurul Izzah apabila orang ramai beranggapan Anwar akan lebih memilih anaknya sendiri berbanding Rafizi.
Imej Nurul Izzah juga dijangka tercalar jika kalah pemilihan tersebut, memandangkan beliau sudah pun tewas di Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas.
Tambah Tian, kemenangan Izzah boleh memberikan alasan kepada kem Rafizi untuk mendakwa wujudnya manipulasi pemilihan oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang mengawal pengundian online.
“Bagi saya ini adalah situasi kalah-kalah,” tambahnya.
Sementara itu, penganalisis politik Dr Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, kedudukan Nurul Izzah dalam parti adalah berdasarkan merit dan bukan hanya status sebagai anak Anwar.
“Soal berlaku nepotisme itu adalah persepsi sahaja. Kalau kita telusuri sejarah politik antarabangsa, soal kekerabatan politik itu biasa.
“Di Thailand ada keluarga Thaksin dan di Filipina ada keluarga Marcos. Ia lazim kerana darah keluarga itu mewarisi kepimpinan,” katanya.
Mazlan berkata Rafizi dijangka tidak akan meninggalkan PKR jika tewas dalam pemilihan tersebut.
Dalam pada itu, Tian Chua menambah langkah terbaru itu juga tidak meyakinkan ahli akar umbi dan penyokong ketiga-tiga pemimpin itu.
“Kalau buat macam ini, kamu hilangkan faksi Rafizi. Hanya separuh parti yang akan menyokong Nurul Izzah. Sekali pun Rafizi kekal dalam parti, Nurul Izzah akan meninggalkan kesan pahit kepada faksi Rafizi.”
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi