Lawatan Xi Jinping ke Malaysia tarik kesetiaan diaspora Cina, kata penganalisis

Oleh: Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 9 ZULKAEDAH – Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini memberi isyarat perubahan strategi Beijing dalam mendekati negara-negara lain, dengan tumpuan kepada kuasa lunak (soft power) termasuk mahu menarik kesetiaan diaspora Cina kepada negara itu. 

 

Bercakap kepada TV Pertiwi, penganalisis geopolitik Asyraf Farique daripada Institut IRIS berkata, ia dapat dilihat daripada 31 memorandum persefahaman (MOU) yang tertumpu kepada kerjasama media, pendidikan dan inisiatif global. 

 

“Perubahan postur ini memberikan beberapa isyarat bahawa China sedang memaparkan perubahan strategik yang ketara untuk mengimbang pengaruh Amerika Syarikat dan pada masa yang sama, cuba untuk menguasai naratif awam yang sebelum ini dikuasai oleh media-media dan naratif tajaan barat.

 

“Pada fasa seterusnya, China akan menumpukan projek normalisasi budaya, bahasa dan mensasarkan ketaatan diaspora cina yang secara politiknya berbeza pandangan dengan Parti Komunis China, selain masih menyokong Taiwan,” katanya. 

 

Masyarakat Cina di Asia Tenggara membentuk kumpulan diaspora Cina yang terbesar di dunia dengan 30 juta daripada 50 juta keseluruhan diaspora Cina di dunia menetap di rantau tersebut. 

 

Asyraf berkata, tiada projek besar di Malaysia yang diumumkan semasa lawatan tersebut, berbeza dengan lawatan Xi ke Vietnam yang mana projek kereta api dan pembelian kapal terbang penumpang oleh Vietnam diumumkan.

 

Ini merupakan lawatan kedua Xi ke Malaysia dalam usaha mengeratkan hubungan Beijing dengan negara-negara Asia Tenggara di sebalik tindakan Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif kepada lebih 100 negara. 

 

Di Malaysia, di mana terdapat minoriti Cina yang signifikan, strategi Beijing berpotensi untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti tersebut.

 

Dalam pada itu, perunding kanan di Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman berkata, diaspora Cina berperanan sebagai ‘jambatan’ antara negara mereka dengan China.

 

Katanya, tumpuan Xi terhadap kumpulan tersebut mungkin bertujuan untuk menangkis sebarang perubahan yang dilihat menjauh daripada pengaruh Beijing, khususnya dalam kalangan mereka yang secara tradisinya cenderung ke arah Taiwan atau ideologi politik Barat.

 

“Penekanan Xi terhadap pertukaran budaya, bahasa, dan penglibatan dengan diaspora Cina di negara-negara seperti Malaysia jelas mencerminkan strategi kuasa lunak. China sejak sekian lama mengiktiraf pengaruh diaspora sebagai duta utama budaya dan dasar-dasarnya. 

 

“Dengan memupuk hubungan dengan komuniti Cina di luar negara, khususnya di Asia Tenggara, Xi berhasrat untuk mengukuhkan kehadiran dan kesetiaan terhadap China terutamanya dalam kalangan individu atau komuniti yang mungkin mempunyai kesetiaan bercampur seperti mereka yang masih menyokong Taiwan.

 

“Dalam erti kata lain, langkah kuasa lunak ini juga secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan China terhadap pesaing seperti Amerika Syarikat dan Taiwan, kerana ia meningkatkan penjajaran geopolitik komuniti diaspora Cina di rantau-rantau strategik,” katanya.

 

Dalam konteks Malaysia, ujar Samirul kesetiaan diaspora Cina merupakan isu yang kompleks, yang mana wujud ketegangan melibatkan kesetiaan kepada tanah air asal dan negara tempat mereka tinggal.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiong pertahan program pengecualian visa bagi warganegara China

Next Post

Dasar Bekerja Dari Rumah dilaksana sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Related Posts