Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 7 ZULKAEDAH – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan sama ada Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang akan bertanyakan soalan sama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mana diajukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Soalan itu diajukan Zaid dalam hantaran di media sosial selepas Kit Siang mensasarkan kenyataan terbaru Pengerusi Perikatan Nasional itu yang menyatakan ‘Saya Melayu dulu, baru Malaysia’ sebagai tidak penting lagi.
“Adakah Lim (Kit Siang) akan bertanya Anwar soalan sama sekarang? Atau menambah satu lagi seperti Petronas atau Sarawak dulu?
“Sekiranya Anwar boleh memberi jawapan yang memuaskan hati, Lim boleh terus ‘menghentam’ Muhyiddin, tetapi kemungkinan besar kedua-dua soalan akan cuba dielakkan,” katanya.
Tambah Zaid, persoalan juga timbul apabila Kit Siang akan terima penjelasan tanpa menjawab soalan dari Anwar tetapi tidak menerima sebarang perubahan pendirian daripada Muhyiddin.
“Sekarang anda faham kenapa pemimpin Cina menggambarkan DAP sebagai parti ekstrim,” ujar beliau.
Muhyiddin dalam program anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) semalam menyatakan kenyataan yang dibuat pada 2010 iaitu ‘Saya Melayu dulu baru rakyat Malaysia’.
Kenyataan itu telah menjadi sasaran Kit Siang yang mempersoalkan sejak bila bekas Perdana Menteri itu berubah pendirian daripada ‘Melayu dulu’ kepada ‘Malaysia dulu;.
Selain Kit Siang, kenyataan itu turut meraih perhatian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh menyifatkan perubahan pendirian itu disebabkan kepentingan politik.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi