Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 7 ZULKAEDAH — Tentera haram Israel akan memanggil puluhan ribu anggota simpanan bagi meluaskan serangan ketenteraan ke atas Semenanjung Gaza yang terus dikepung sejak Oktober 2023.
Ketua angkatan tentera, Eyal Zamir mengumumkan perkara itu dalam satu lawatan ke pangkalan tentera laut Atlit di utara negara haram itu pada Ahad.
Katanya, rejim Israel akan meningkatkan tekanan di Gaza dalam usaha untuk menewaskan Hamas dan membawa pulang tebusan yang tebusan dari pejuang kemerdekaan Palestin itu.
“Minggu ini, kami akan menghantar puluhan ribu arahan panggilan kepada anggota simpanan kami untuk memperhebat dan meluaskan tindakan kami di Gaza.
“Kami akan meningkatkan tekanan untuk membawa pulang rakyat kami [yang ditahan di Gaza] dan menewaskan Hamas,” katanya
Selain itu, Zamir turut menegaskan bahawa tentera Israel akan beroperasi di kawasan tambahan dan mensasarkan semua infrastruktur hamas di atas dan bawah tanah.
Pengumuman itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan perang walaupun semakin ramai rakyatnya mendesak agar perjanjian dicapai bagi membawa pulang tahanan dan menamatkan perang yang telah meragut lebih 52,000 nyawa rakyat Palestin.
Gerakan yang semakin berkembang dalam Israel mendesak agar perang ditamatkan, manakala semakin ramai anggota simpanan mengabaikan panggilan untuk kembali berkhidmat.
Mengulas lanjut, dua pegawai kerajaan memberitahu Reuters bahawa kabinet akan membincangkan kemungkinan menyambung semula bantuan ke Gaza susulan amaran kumpulan kemanusiaan mengenai kebuluran yang semakin teruk sejak sekatan penuh dikenakan pada 2 Mac.
Israel terus dikecam secara global atas tindakannya di Gaza yang telah memusnahkan infrastruktur, termasuk sistem kesihatan, serta menyebabkan majoriti daripada 2.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali sejak perang bermula.
Dalam perkembangan sama, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, dalam wawancara bersama Radio Tentera Israel, menyatakan hasrat untuk melihat perluasan perang yang lebih ‘kuat’ tanpa mendedahkan butiran rancangan tersebut.
“Kita perlu tingkatkan intensiti dan teruskan sehingga mencapai kemenangan mutlak. Kita mesti menang secara total,” katanya.- AlJazeera
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi