Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 7 ZULKAEDAH – Pendakwah Firdaus Wong tampil membuat laporan polis susulan ugutan kedua yang diterimanya daripada seorang pengguna internet berhubung isu kuil haram.
Firdaus memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
“Hujah lawan hujah bukannya ugut mengugut. Negara kita ada undang-undang. Semoga tindakan segera diambil terhadap Joseph Prakash.
“Saya rakyat Malaysia yang menjunjung Rukun Negara, Kedaulatan Undang-Undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Dalam video yang dimuat naik oleh Firdaus menerusi hantaran yang sama, individu tersebut dilihat mengugut untuk mencederakan Firdaus sambil menunjukkan klip video ucapan pendakwah tersebut mengulas isu kuil haram.
“Habis kali ini kalau kau masih nak cakap ‘kuil haram’ aku akan pijak mulut kau.
“Kalau aku cakap, aku mesti bikin punya. Kau ni betul-betul haram jadah,” katanya dalam video itu.
Ini ugutan kedua yang diterima Firdaus selepas ugutan bunuh diterimanya pada Mac lalu berhubung isu yang sama.
Bagaimanapun, lelaki tersebut yang dipercayai menghantar mesej ugutan bunuh itu dibebaskan dengan ikat jamin polis setelah direman dua hari.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Firdaus turut memaklumkan sehingga hari ini, tiada pendakwaan diambil terhadap kes ugutan bunuh tersebut.
TV Pertiwi telah menghubungi dengan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar @ Ismail dan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar untuk mendapatkan maklum balas mereka.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi