Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 2 ZULKAEDAH – Kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula esok dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.
Katanya, ia terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu yang mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga kompetitif.
“Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan sudah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
“Kerajaan juga sudah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, menurut kenyataan tersebut, langkah penyelarasan semula subsisi adalah lebih adil memandangkan ketika ini subsidi turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai Madani,” katanya.
Bagi meminimumkan kesan ke atas kos sara hidup, KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan beberapa langkah intervensi iaitu pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga munasabah.
Selain itu, rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
KPDN juga akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di Bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi