Kerajaan Perpaduan bukan hanya UMNO dan DAP – Ahmad Maslan

Oleh: Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 1 ZULKAEDAH —

 

Kerajaan Perpaduan bukan hanya terdiri daripada UMNO dan DAP tetapi merangkumi gabungan 18 parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

 

Beliau berkata, naratif ‘UMDAP’ yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang khususnya ketika musim Pilihan Raya Kecil (PRK) hanyalah usaha meraih sokongan melalui sentimen negatif tanpa berlandaskan fakta.

 

“Penjelasan saya tentang UMDAP mudah sahaja, kerajaan ini bukan dibina atas UMNO dan DAP sahaja. Ia terbentuk hasil gabungan 18 parti yang berbeza,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sekiranya kerajaan hanya dibentuk oleh UMNO dan DAP, jumlah kerusi parlimen yang dimiliki tidak akan melepasi angka majoriti mudah.

 

Katanya, jumlah kerusi yang dimiliki hanyalah sekitar 70, iaitu jauh daripada mencukupi untuk mencapai majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

 

“Sekarang ini, Kerajaan Perpaduan mempunyai 153 kerusi. Kita bermula dengan 148 kerusi, kemudian tolak satu (Muar) tinggal 147.

 

“Selepas itu, enam Ahli Parlimen daripada BERSATU menyatakan sokongan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 153,” katanya. 

 

Jelas beliau, meskipun Parti MUDA telah keluar daripada gabungan, sokongan enam Ahli Parlimen BERSATU bagi memastikan jumlah parti yang menyokong kekal sebanyak 18.

 

“Oleh itu, adalah tidak betul untuk menuduh kerajaan ini sebagai kerajaan UMDAP. Kita ada 18 parti, bacalah semua jangan hanya baca dua sahaja,” katanya. 

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tuduhan hasut: ADUN Sura mahu saman peguam

Next Post

Sekolah bukan tempat normalisasi hiburan lalai

Related Posts