PRK Ayer Kuning: Isyarat penolakan rakyat terhadap kerajaan – PAS

Oleh Akmal Ahmad

 

BANGI, 29 SYAWAL- Keyakinan yang dilaungkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Shaarani Mohamad bahawa akan berlaku gelombang besar ‘transfer vote’ sehingga mampu mencapai majoriti 18,000 undi ternyata jauh meleset, kata PAS. 

 

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar berkata, hakikatnya Perikatan Nasional (PN) kekal teguh dengan undi teras sekitar 5,000 hingga 6,000 pengundi, menunjukkan bahawa sokongan akar umbi kepada PN tetap utuh dan tidak terjejas walaupun diasak hebat oleh kekuatan jentera kerajaan

 

“Walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi ini, keputusan yang diperoleh menjadi gambaran jelas kepada banyak hakikat penting yang wajar diberi perhatian serius, khususnya oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

 

“PRK ini juga membuktikan bahawa tiada perpindahan undi daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) kepada BN dengan jumlah yang besar. 

 

“Sebaliknya, rakyat secara kolektif telah menghantar isyarat penolakan terhadap prestasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang dilihat gagal menyantuni keperluan rakyat.

 

“ Lebih ketara, kemerosotan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina memperlihatkan bahawa pengundi teras PH sendiri tidak bersedia untuk mengalihkan sokongan kepada BN, satu mesej penolakan yang sangat jelas terhadap kerjasama politik antara dua parti ini,” katanya dalam kenyataan. 

 

Menurut Sukri, sejarah menunjukkan bahawa Ayer Kuning adalah kubu kuat UMNO dan BN. Oleh itu, kemenangan BN tidaklah mengejutkan. 

 

Namun, majoriti undi yang semakin mengecil dalam PRK kali ini adalah satu peringatan keras buat BN bahawa keyakinan rakyat terhadap mereka semakin menipis. Ia adalah tanda-tanda awal perubahan arus politik yang tidak boleh dipandang ringan.

 

“Dalam realiti ini, PAS mengingatkan bahawa PN perlu terus memperkukuh peranan semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri Perak.

 

“Segala isu yang dibangkitkan sepanjang kempen PRK Ayer Kuning yang banyak dinafikan oleh kerajaan negeri perlu terus diperjuangkan agar suara rakyat tidak tenggelam di dalam dewan.

 

“Lebih-lebih lagi dengan dominasi BN dalam kerajaan negeri, harapan rakyat kini bergantung kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PN untuk membawa aspirasi dan keperitan sebenar rakyat.

 

“PAS menegaskan bahawa PN akan terus istiqamah memperjuangkan hak rakyat, membela nasib semua golongan dan membina keyakinan menuju gelombang perubahan yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang,” katanya. 

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PAS patut lupakan naratif negara Islam – Puad

Next Post

SKMM buka kertas siasatan terhadap pempengaruh terkenal

Related Posts