Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 27 SYAWAL – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyeru kerajaan untuk bertindak mengikut undang-undang dalam mendepani rakyat yang bersuara memberikan pandangan terhadap sesuatu isu, di sebalik tindakan agensi kerajaan memanggil orang ramai untuk memberi keterangan atas pandangan mereka.
Presidennya, Shuhaib ar-Rumy Selamat berkata, ini kerana rakyat terbuka memberikan pandangan terhadap satu-satu isu selagi mana ia mematuhi undang-undang.
“Apa sahaja tindakan oleh mana-mana pihak sama ada rakyat atau pihak berkuasa mesti berpandukan undang-undang. Dalam konteks sekarang, kita melihat di sana seolah ada pendekatan yang bersifat menakut-nakutkan rakyat.
“Rakyat tidak boleh disekat. Jika tidak, ia akan memberi impak yang lebih parah kepada Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ISMA di Cyberjaya hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikritik kerana tindakannya memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan berhubung kenyataan mereka di media sosial.
Terbaru, pempengaruh yang juga pengasas Scrut, Aliff Ahmad dipanggil ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya selepas menawar untuk memeriksa Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, SKMM turut memanggil pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Ahmad Sanusi Azmi kerana hantarannya mengulas tindakan Anwar membawa cucu ke pejabat.
Badan kawal selia yang bertanggungjawab ke atas industri komunikasi dan multimedia di Malaysia itu turut cuba memanggil seorang pengarah projek yang terlibat dengan pengubahsuaian di Menara Kuala Lumpur namun gagal kerana individu tersebut kini sedang bekerja di luar negara.
“Sekiranya mana-mana pihak yang melanggar mana-mana undang-undang, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi