Terengganu haram penjualan vape bermula 1 Ogos

Oleh Akmal Ahmad

 

BANGI, 26 SYAWAL- Kerajaan Terengganu akan melaksanakan Larangan Penjualan Produk Rokok Elektronik (Vape) di semua premis perniagaan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri itu  berkuat kuasa 1 Ogos depan. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk  Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara tersebut diputuskan dan dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 23 April lalu.

 

Menurutnya, beberapa  keputusan telah dipersetujui seperti kerajaan negeri kekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape, selaras dengan Undang-Undang Kecil yang berkuat kuasa di setiap PBT. 

 

Katanya lagi, syarat-syarat lesen perniagaan akan diperkemaskan bagi memastikan larangan penjualan produk vape dapat dikuatkuasakan sepenuhnya. 

 

“Keputusan ini adalah langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam membendung penjualan dan penggunaan produk rokok elektronik atau vape yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

 

 

 

“Mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan perniagaan ketika larangan ini sedang dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut UndangUndang Kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 Akta 171).

 

“Antaranya, tindakan kompaun akan diambil, dan barang-barang vape yang dijual oleh pengusaha terbabit akan disita. 

 

“Sekiranya pengusaha masih lagi meneruskan perniagaan, tindakan  pendakwaan selanjutnya akan diambil ke mahkamah ,” ujarnya dalam kenyataan semalam. 

 

Menurut Wan Sukairi, Kerajaan Negeri juga memutuskan untuk tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi program atau acara anjuran kerajaan termasuk mengadakan pengiklanan produk Vape sebagai komitmen tegas terhadap isu ini.

 

“Sebagai manifestasi keprihatinan terhadap kebajikan pengusaha dan pekerja di premis vape yang terjejas, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus-kursus keusahawanan serta peluang perniagaan bagi membantu mereka beralih kepada sektor perniagaan yang lebih mampan dan selamat.

 

“Tempoh lanjutan selama tiga bulan iaitu bermula 1 Mei hingga 31 Julai akan diberikan sebelum penguatkuasaan larangan ini dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Ogos termasuk penguatkuasaan terhadap papan-papan iklan berkaitan perniagaan vape,” katanya. 

 

Kerajaan Negeri menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan dasar ini demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri Terengganu yang lebih sihat dan sejahtera. 

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Peja nafi dakwaan lulus 103 lesen ladang babi

Next Post

Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru tak sah, kata peguam hak asasi

Related Posts