PRK Ayer Kuning: BN dijangka kekal tetapi majoriti berkurang – penganalisis

Oleh: Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 26 SYAWAL – Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada pertembungan tiga penjuru Sabtu ini, memanfaatkan kelebihan sebagai parti pemerintah di peringkat persekutuan dan negeri. 

 

Namun persoalan yang timbul ialah sama ada gabungan yang ditunjangi UMNO itu mampu mengekalkan jumlah majoriti yang diperolehinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas. 

 

Penganalisis Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, BN sebagai parti yang tidak pernah kalah di kawasan itu dibantu oleh Pakatan Harapan (PH) dalam mendapatkan 40% undi bukan Melayu termasuk Orang Asli.

 

“Kelebihan BN ialah jentera yang tersusun. Tambahan pula BN memerintah di Perak dan mereka mempunyai keupayaan yang besar di peringkat persekutuan.

 

“Justeru kempen-kempen BN dan sekutunya nampak memuaskan,” katanya kepada TV Pertiwi. 

 

Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54 akan berentap melawan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.

 

Pada PRN lepas, BN menang dengan majoriti 2,213 dalam pertembungan lima penjuru. Sebagai rekod, kerusi itu mempunyai kira-kira 55% pengundi Melayu, pengundi Cina (22%), India (14%) dan lain-lain (8%).

 

 

Mazlan berkata, PN tidak dapat membawa isu dengan baik semasa kempen PRK dan diurus dengan baik oleh BN. 

 

Bagaimanapun, beliau menjangkakan akan ada perubahan undi daripada penyokong Melayu UMNO kepada PN susulan sentimen terhadap DAP. 

 

Seorang lagi penganalisis, Dr Nur Ayuni Mohd Isa daripada Sekolah Pengajian Afrika dan Orient (SOAS), University of London bersetuju, menyatakan pertambahan undi PH kepada BN sebagai faktor PN sukar menang di kerusi berkenaan. 

 

“Namun begitu UMNO BN tidak boleh berasa terlalu selesa dan perlu bijak untuk menyakinkan pengundi melayu untuk mengundi mereka. 

 

Selain itu UMNO juga perlu mengembalikan kepercayaan ahli partinya tentang kerjasama politik yang wujud antara UMNO BN dan juga PH agar tiada lagi undi protes seperti yang berlaku sebelum ini kerana tidak dapat menerima kerjasama yang berlaku,” katanya. 

 

Nur Ayuni berkata, PRK kali ini menyaksikan tumpuan kepada parti berbanding latar belakang calon. 

 

Sementara itu, pemerhati politik Azizi Safar berkata, berdasarkan keputusan PRN 2023, BN sukar ditewaskan. Bagaimanapun, isu ladang babi menjadi panas dan telah meletakkan kerajaan negeri dan BN di posisi bertahan.

 

“Sedikit sebanyak ia akan beri kesan kepada sokongan orang-orang Melayu kerana isu seperti ini sensitif di kalangan orang yang Melayu. 

 

“Apakah ia berjaya gugat peluang BN untuk menang? Tidak. Apakah ia boleh mengurangkan sokongan kepada BN? Mungkin,” katanya yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang.

 

Isu ladang babi antara yang mewarnai PRK Ayer Kuning apabila jentera kempen PN mendesak ladang babi haram di kawasan itu ditutup serta-merta manakala ladang yang terletak berhampiran kawasan penduduk dipindahkan.

 

Naib Presiden PAS Idris Ahmad sebelum ini berkata terdapat 30 ladang babi yang diluluskan dan mempunyai lesen di Ayer Kuning.

 

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pula memaklumkan Pengusaha kandang babi di Ayer Kuning sudah mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

 

PRK Ayer Kuning diadakan selepas kematian penyandang, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kebun durian haram: DAP tidak layak jadi orang tengah – Peguam

Next Post

‘SCRUT’ Nurul Izzah: Pempengaruh dipanggil SKMM

Related Posts