Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 26 SYAWAL – Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur untuk tujuan pembangunan komersial disifatkan tidak sah mengikut perundangan sedia ada, menurut peguam hak asasi manusia, N Surendran.
Katanya, ini kerana status tanah tersebut sebagai rizab Melayu masih belum terbatal oleh pihak berkuasa.
“Document of title yang menyatakan ia adalah ‘leasehold’ adalah tidak sah jika tanah itu sebenarnya adalah tanah rizab Melayu, kerana tanah rizab Melayu ini tidak boleh dijadikan tanah pajakan.
“Ia satu perkata penting kerana jika ia (Kampung Sungai Baru) adalah Malay Agricultural Settlement, keseluruhan proses pengambilan tanah oleh kerajaan harus dipersoalkan kesahihannya,” katanya pada satu sidang media hari ini.
Hadir sama Pengarah Lawyers For Liberty, Zaid Malek dan Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru.
Menurut Surendran lagi, Enakmen Rizab Melayu menyatakan bahawa status tanah rizab Melayu hanya boleh terbatal jika ada proses pembatalan oleh pihak berkuasa negeri.
“Dalam kes Kampung Sungai Baru, kita telah menulis kepada semua pihak berkuasa. Siapa pun tak boleh tunjukkan ada pembatalan tersebut,” katanya.
Gazet tahun 1932 yang ditunjukkan pada sidang media itu menunjukkan kawasan Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada Kampung Baru yang terletak di bawah Malay Agricultural Settlement.
Terdahulu, jawatankuasa tersebut mendesak satu inkuiri diadakan mengikut Bab 4 Kanun Tanah Negara bagi menentukan status tanah dan surat hak milik.
“Ini adalah kerana dokumen-dokumen dan peta rasmi menunjukkan bahawa ia adalah tanah “Malay Agricultural Settlement” (MAS), iaitu tanah rezab Melayu. Setelah disahkan melalui inkuiri bahawa tanah itu adalah tanah rizab, maka tanah tersebut dipulangkan kepada penduduk-penduduk,” menurut pengerusi jawatankuasa, Zainab Alias.
Mereka turut menggesa proses pembangunan yang sedang berlangsung di Kampung Sungai Baru berikutan pengambilan tanah dibekukan sehingga inkuiri tersebut tamat dan keputusan dicapai.
Dalam pada itu, Zainab berkata penduduk Kampung Sungai Baru mahu berkumpul di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menuntut keadilan pada 7 Mei ini sekiranya tuntutan mereka tidak didengari.
Pada masa ini, sebahagian kawasan Kampung Sungai Baru yang dahulunya rumah flat kos rendah sedang dalam proses perobohan.
Jawatankuasa itu turut mendesak pemansuhan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membenarkan pengambilan tanah oleh kerajaan selain untuk kepentingan awam.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi