Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 26 SYAWAL – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar nafi membuat sebarang laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap Pengasas Bersama SCRUT, Aliff Ahmad.
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Nurul Izzah berkata, Aliff tidak sepatutnya disiasat hanya kerana ingin membuat carian latar belakang ‘SCRUT’ terhadapnya.
“Saya tidak mengenali beliau (Aliff) ataupun pernah bertemu dengan beliau. Saya juga tidak pasti cara beliau mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikut garis panduan undang-undang.
“Namun yang pasti, beliau tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti yang dinyatakan mengenai saya.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap saudara Aliff Ahmad, seperti yang didakwa,” katanya.
Terdahulu, Aliff dipanggil SKMM selepas memuat naik hantaran di Facebook untuk membuat carian latar belakang mengenai kerja dan sumber pendapatan Nurul Izzah.
Dalam pada itu, Nurul Izzah menyeru semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas yang kukuh.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi