Perdana Menteri bantu normalisasikan istilah ‘kuil haram’ – Ramasamy

Oleh: Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 25 SYAWAL –  Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P Ramasamy mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam menormalisasikan istilah ‘kuil haram’.

 

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Ramasamy berkata, Anwar menjadi penyumbang terbesar penggunaan istilah itu apabila menginstitusikan label ‘haram’ ketika merujuk kepada kuil Hindu semasa kontroversi pemindahan Kuil Dewi Sri Patharakaliamman di Jalan Masjid India.

 

“Kuil itu dipindahkan untuk pembinaan Masjid Madani dan justifikasi oleh Anwar bersandarkan kepada kewujudan kuil itu sebagai ‘haram’.

 

“Tindakan ini memberi mesej berbahaya kepada agensi dan jabatan kerajaan bahawa melabelkan kuil sebagai ‘haram’ bukan sahaja dibenarkan tetapi digalakkan di peringkat pemimpin tertinggi,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, akibat daripada itu, istilah haram telah menjadi alat politik dan ideologi sebagai mekanisme untuk menafikan kesahihan tempat ibadat bukan Islam dan memuaskan hati sentimen etno-agama majoriti.

 

Terdahulu, Ramasamy membidas kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menggesa Anwar supaya mengarahkan agensi dan jabatan kerajaan untuk tidak menggunakan istilah haram ketika merujuk kepada kuil Hindu.

 

Beliau berkata, penggunaan istilah kuil haram yang tertera dalam surat maklum balas hospital kerajaan di Taiping telah mencetuskan kemarahan komuniti India.

 

“Pertama, tidak perlu untuk adakan mesyuarat Kabinet berhubung perkara ini. Arahan daripada Pejabat Perdana Menteri menerusi Ketua Setiausaha Kerajaan sudah cukup untuk menghentikan penggunaan istilah itu.

 

“Tetapi itu sendiri bergantung kepada kesediaan pihak atasan untuk membetulkan ketidakadilan yang sudah lama berlaku — kesediaan yang masih belum kelihatan.

 

“Saravanan, sama ada sedar atau tidak sedang memohon kepada individu yang membantu menormalisasikan label ‘haram; merujuk kepada kuil Hindu, terutama ketika kontroversi pemindahan secara paksa Kuil Dewi Sri Patharakaliamman yang berusia 130 tahun,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Ramasamy turut membidas penggunaan istilah “haram” terhadap kuil-kuil yang ada sejak sebelum wujudnya undang-undang tanah moden seperti Kanun Tanah Negara dan sistem pendaftaran Torrens.

 

“Kuil-kuil ini telah wujud sejak zaman penjajahan British, didirikan oleh pekerja estet dan pendatang yang tidak mempunyai akses kepada pemilikan tanah tetapi sangat memerlukan ruang kerohanian dan komuniti.

 

“Melabelkannya sebagai ‘haram’ mencerminkan penolakan sistematik untuk mengiktiraf kepentingan sejarah dan budaya kuil-kuil ini. Ia merendahkan amalan keagamaan yang telah berabad-abad kepada isu teknikal birokrasi,” tambah beliau.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

KPM minta maaf papar Jalur Gemilang tidak sempurna janaan AI

Next Post

Kebun durian haram: DAP tidak layak jadi orang tengah – Peguam

Related Posts