Oleh: Balqis Idris
BANGI, 25 SYAWAL — Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menyeru agar pihak berautoriti memainkan peranan yang lebih besar dalam mengangkat perjuangan Palestin termasuk menjadikan masjid sebagai medan saluran utama.
Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata, masjid boleh digunakan sebagai platform untuk terus memperingatkan masyarakat muslim di Malaysia mengenai perkembangan Gaza menerusi khutbah Jumaat.
Katanya, peranan daripada pihak berautoriti seperti jabatan agama akan memberi impak lebih signifikan terutama apabila usaha memperjuangkan Palestin akan terus mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
Jelas beliau, apa yang diusahakan oleh GSPP dan NGO-NGO lain sudah sampai pada satu tahap maksima apabila pelbagai usaha telah dijalankan seperti kempen, demonstrasi, penulisan artikel, podcast dan banyak lagi.
“Tetapi NGO ada keterbatasan dalam menyampaikan mesej. Sebab itu dari awal GSPP menyeru supaya badan berautoriti mengambil alih peranan yang sekarang dimainkan oleh NGO secara lebih aktif
“Sebab itu daripada awal GSPP menyeru supaya badan yang beroutoriti mengambil alih peranan yang sekarang yang dimainkan oleh NGO secara lebih aktif.
‘Sebagai contoh, katakanlah semua Jabatan Agama di Malaysia mengambil pendekatan untuk menyebarkan isu Palestin dan membina solidariti melalui masjid dengan adanya Khutbah dan kutipan Jumaat seumpamanya, ia pasti akan memberi kesan signifikan,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi turut menyuarakan kekecewaan terhadap sesetengah masjid yang masih memilih topik tidak relevan dalam khutbah Jumaat, sedangkan realiti penindasan di Palestin semakin memuncak.
Jelas beliau, kandungan khutbah seharusnya memberi kesedaran buat umat Islam namun pendekatan yang diambil seolah-olah tidak mencerminkan keprihatinan kepada isu yang lebih besar khususnya terhadap rakyat di Gaza.
“Saya minta maaf saya sebut ya, saya agak sedih apabila melihat sebahagian daripada khutbah di Malaysia ini yang masih membicarakan hal-hal tentang isu kahwin di Thailand, bercakap berkenaan artis bercerai.
“Kenapa perlu dikhutbah semua itu sedangkan Palestin mati dibunuh?” soalnya.
Selain masjid, Muhammad Fauzi juga berharap media arus perdana akan lebih aktif melaporkan berita mengenai Palestin tanpa ikut naratif yang dibawa oleh media barat.
Katanya, laporan berita yang menumpukan kepada segmen hiburan tidak memanfaatkan pembaca sedangkan banyak lagi isu penting wajar diberi perhatian.
“Tak perlu besarkan tentang artis-artis bercerai, dapat anak, artis mengandung itu semua, ceritalah tentang Palestin, kematian syahidnya secara meluas.
“Orang tidak tahu, orang tidak kenal. Akhirnya kita tidak mampu, NGO ini terbatas. Apabila pihak berautoriti buat kempen-kempen ini barulah hidup,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi