Oleh: Akmal Ahmad
BANGI, 24 SYAWAL – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mempersoal niat pihak yang bercadang menukar nama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada nama baharu yang lebih moden.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, nama KTMB mempunyai nilai nostalgia tersendiri dan ia menjadi lambang prestasi dan kemajuan tanah air sejak dahulu.
“Adakah ini merupakan langkah licik untuk melenyapkan identiti bangsa melayu itu sendiri. Kami tidak menolak sebarang bentuk cara untuk memodenkan gerabak atau perkhidmatan tetapi kekalkan nama sebagai Keretapi Tanah Melayu kerana ia lambang negara kita.
“Dahulu negara ini di kenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan perkhidmatan keretapi mengambil nama bersempena dengan identiti negara kita waktu itu.
“ Nilai sejarah jangan ditukar sesuka hati. Amat malang jika ada unsur- unsur negatif dengan cadangan mengubah nama perkhidmatan keretapi kita,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Fahmi, sudah banyak perkhidmatan keretapi yang dikenali sebagai monorel, Projek Transit Aliran Ringan (LRT), Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak mempunyai perkataan bahasa Melayu.
“Adakah itu tidak cukup sehingga ada pihak yang masih mahu menukarkan nama KTMB? Hina dan elegik sangat bila ada jenama yang menggunakan nama Melayu,” soalnya.
Dalam masa sama, PERKASA mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KTMB kerana menolak cadangan pertukaran nama KTMB yang mempunyai nilai, sejarah yang tersendiri.
“Adakah isu Bak Kut teh yang diperkenalkan oleh negara china kepada Malaysia sebagai makanan warisan merupakan cubaan untuk memadamkan sejarah Tanah Melayu?,” soalnya.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat cadangan daripada seorang individu supaya nama KTMB diubah bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa.
Individu berkenaan berpendapat nama Keretapi Tanah Melayu sudah tidak lagi relevan kerana tren masa kini digerakkan menggunakan elektrik dan istilah Tanah Melayu merujuk kepada Malaya, bukan Malaysia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi