Oleh Wartawan TV Pertwi
BANGI, 24 SYAWAL – Sebanyak 1,082 hak milik tanah di negeri ini telah dilucut hak selepas pemiliknya gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, 838 pemilik tanah tidak mengemukakan permohonan bagi pembatalan pelucutan hak.
Menurutnya, berdasarkan rekod terkini, jumlah kutipan hasil penalti berkaitan tunggakan cukai tanah yang berjaya dikutip kerajaan negeri mencecah lebih RM1.4 juta.
“Ini bermakna, bukan sahaja tanah dikerjakan secara tidak sah, tanah tidak bayar cukai pun boleh dirampas
“Bagaimanapun Notis Tuntutan Borang 6A dikeluarkan kepada pemilik tanah yang ingkar ini sebagai peluang untuk mereka menjelaskan tunggakan cukai tanah masing-masing.
“Sekiranya terus berdegil, pentadbir tanah akan mengeluarkan Notis Perampasan Tanah (Notis 8A) ke atas pemilik sebelum tanah tersebut dirampas,” katanya memetik Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Fadzli Mohd Ramly (ADUN Lantikan) pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan dikemukakan ADUN Ketari, Su Keong Siong (DAP), Wan Rosdy menjelaskan, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan sekiranya pemilik tanah mengemukakan rayuan.
“Selepas rayuan dikemukakan, pentadbir tanah akan berunding dengan pemilik dengan melihat pelbagai sudut sebelum sebarang keputusan pelucutan hak dibuat.
“Kita akan teliti termasuk kemampuan pemilik tanah, jumlah tunggakan dan tempoh tunggakan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, rata-rata pemilik tanah terlibat setuju dengan syor diberikan kerana yang penting mereka membayar tunggakan itu dan tiada siapa yang dikecualikan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi