Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 23 SYAWAL – Satu memorandum telah diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berhubung pengawasan terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha politiknya, Mohd Soud Said dan peguam Hajjah Kamilia Ibrahim menyerahkan memorandum itu bagi membantah apa yang disifatkan Samsuri sebagai “pengawasan melampau” dan intimidasi politik yang mencabuli hak asasinya.
“Melalui memorandum ini, saya berharap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dihentikan segera.
“Saya juga menyeru agar institusi-institusi penguatkuasaan diperkukuh dengan prinsip kebertanggungjawaban, agar tiada lagi pemimpin atau rakyat menjadi mangsa tekanan politik bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan demokrasi negara,” katanya melalui hantaran di Facebook, semalam.
Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan beliau pernah dikenakan TCO seperti Ahmad Samsuri, namun telah ditarik balik atas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendakwa dikenakan pemantauan TCO sehingga panggilan telefonnya diawasi.
Naib Presiden PAS itu berkata, langkah berkenaan menjadikan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata (tidak dikehendaki) di tanah air sendiri.
Bagaimanapun, Razarudin berkata, tiada keperluan untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu itu dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi