Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 23 SYAWAL – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perlu ‘membersihkan namanya’ dengan membuat laporan polis sekiranya benar-benar tidak terlibat dalam rakaman audio yang didakwa miripnya.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, laporan polis itu penting supaya nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkenaan dapat dibersihkan daripada fitnah pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) serta pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat kes ini dengan telus dan tuntas.
“Siasatan forensik wajib dibuat untuk memastikan kesahihan video itu dan mengenal pasti siapa suara individu tersebut. Semua yang terlibat harus diambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Terdahulu, tular video berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial sehari selepas Ab Rauf membuat penafian beliau berkaitan penahanan bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang direman SPRM ketika ini.
Dalam video berkenaan tertera kenyataan media Ketua Menteri Melaka dengan latar belakang tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu tidak dikenali.
Salah seorang individu itu digelar dengan panggilan ‘bos’.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi