Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 SYAWAL- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa pemberian cenderahati kepada Presiden China, Xi Jinping tidak perlu diperbesarkan dan diperkatakan.
Memetik Berita Harian, beliau berkata, cenderahati itu buatan Malaysia dan ukirannya diperbuat oleh Royal Selangor.
“Cenderahati itu adalah hadiah peribadi dan saya tidak cakap pemberian daripada kerajaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Raikan Kasih Madani Tahun 2025 di kementeriannya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan diajukan wartawan berkenaan isu pemberian cenderahati itu yang kecoh di media sosial kerana didakwa melakukannya melalui ‘pintu belakang’ tanpa sebarang protokol rasmi.
Klip rakaman pendek mengenai perkara itu tular dan mendapat perhatian ramai selepas ia dimuat naik Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di laman Facebook miliknya.
Plak daripada Royal Selangor dengan ukiran naga itu diberikan kepada Xi Jinping pada 17 April lalu sebelum Presiden China itu berlepas ke Kemboja selepas berada di Malaysia selama tiga hari dalam lawatan beliau ke Asia Tenggara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi