Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 SYAWAL –
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan agenda pihak tertentu yang memaparkan gambarnya bersama calon PSM yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Dalam hantaran di Facebook, Akmal berkongsikan kain rentang itu menunjukkan gambarnya sebagai latar belakang yang disertakan tulisan Cina yang mana beliau mendakwa terjemahannya ialah undi BN bersamaan undi Dr Akmal.
“Walaupun saya bukan calon di DUN Ayer Kuning tetapi ada juga yang letakkan muka saya di poster bersama dengan calon.
“Dan ditulis di situ dalam bahasa CIna yang terjemahannya ‘undi BN = undi Dr Akmal’.
“Kenapa perlu letak muka saya dan perlu letak tulisan CIna yang membawa maksud sedemikian?” soal beliau.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap beliau selagi tidak menyentuh agama, bangsa dan raja (3R) yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam PRK DUN Ayer Kuning supaya berkempen secara sihat.
“Tidak perlu takut dengan saya selagi kamu tidak menyentuh agama, bangsa dan raja-raja yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Saya pun tidak akan menyentuh kamu.
“Tetapi kamu berani sentuh sahaja walau sedikit, tidak akan kami berganjak seinci sekali pun untuk mempertahankan agama bangsa dan tanah air kita,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi