Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 22 SYAWAL – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) digesa menjelaskan mengenai jemputan seorang aktivis mewakili kumpulan yang dipercayai memperjuangkan hak LGBT sebagai panel dalam forum yang bakal diadakan minggu ini.
Timbalan Presiden PEMBINA, Abu Dzar Mohd Annuar berkata, prosedur menjemput panel dalam program sedemikian di UIAM kebiasannya diluluskan oleh pihak pentadbiran dan polis bantuan.
Terdahulu, beliau berkongsi sebuah poster yang memaparkan program berbentuk forum bertajuk ‘Faith-Based Approaches to Gender Identity & Sexual In Islam’ yang dijadual berlangsung pada 24 April ini.
Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana individu daripada kumpulan JEJAKA Malaysia dibenarkan menggunakan platform UIAM.
“Di universiti Islam, bagaimana semudahnya kita boleh beri platform kepada kemungkaran ini atas nama kebebasan ilmiah dan akademik.
“Sekali pun kita nak diskusi tentang bagaimana nak banteras idea LGBT ini, kenapa perlu jemput aktivis LGBT?
“Kita ada NGO yang mengumpulkan ex (bekas) LGBT yang dah berubah seperti NGO Hijrah. Itu lebih baik dalam nak berikan pencerahan untuk ‘counter’ idea LGBT ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut laman sosial JEJAKA, dinyatakan bahawa NGO itu adalah kumpulan sokongan untuk pemuda queer, gay dan biseks untuk mewujudkan ruang selamat penerimaan diri dan bimbingan rakan sebaya.
Dalam pada itu, Abu Dzar turut menggesa gerakan mahasiswa di universiti untuk membantah beramai-ramai berhubung jemputan panel itu.
“Kena persoalkan UIA siapa yang cadangkan panel ini. Individu itu perlu bertanggungjawab.
“Kami dulu nak buat diskusi ilmiah tentang ‘Penchinaan Malaysia’ pun kena soal macam-macam,” dakwa beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi