Oleh Wartawan Tv Pertiwi
BANGI,22 SYAWAL- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimohon mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah kuil haram.
Permohonan itu disuarakan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan susulan maklum balas pihak pengurusan Hospital Taiping terhadap aduan berhubung sebuah tempat ibadat yang terletak di kawasannya.
Dalam jawapan rasmi bertajuk “Maklum Balas PCB 965228 – Aduan Kuil Haram”, Timbalan Pengarah Hospital Taiping Arni Nadhirah Abdul Hadi menyatakan bahawa tindakan lanjut sedang diambil mengikut tatacara sewajarnya.
Saravanan membantah sekeras-kerasnya bahasa yang digunakan, sambil menekankan bahawa banyak kuil ini telah wujud selama beberapa dekad – jauh sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.
Katanya, melabelkan rumah ibadat Hindu seperti itu sebagai “haram” amat menyinggung perasaan dan adalah tidak sensitif serta mengabaikan fakta sejarah dan budayanya.
“Majoriti kuil itu wujud sewaktu zaman penjajahan British dan Jepun,” katanya memetik Malaysiakini sambil memaklumkan surat itu dihantar ke Pejabat Perdana Menteri pagi ini.
“Dari sejarahnya, golongan buruh (India) awal mendirikan rumah ibadat di mana mereka bekerja. Kerajaan seharusnya tidak mengabaikan fakta sejarah sebenar kuil-kuil Hindu yang ini mendapat kelulusan pihak penjajah dan pemerintah tempatan,” katanya.
Saravanan berkata setelah berlakunya fragmentasi estet, tanggungjawab kawal selia kuil-kuil beralih kepada penduduk setempat.
Pemimpin MIC itu juga menegaskan bahawa walaupun kuil-kuil ini pada mulanya terletak di pinggiran bandar atau di kawasan pedalaman tetapi pada hari ini, urbanisasi telah menyebabkan kuil-kuil itu seolah-olah terletak di pekan.
“Melabelkan rumah ibadat sebagai ‘kuil haram’ amat menyinggung perasaan penganut agama Hindu,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi