Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 22 SYAWAL – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menyerahkan cenderamata kepada Presiden China, Xi Jinping ketika lawatan rasmi baru-baru ini.
GPS menerusi kenyataan media turut mempersoal peranan Setiausaha Agung DAP itu yang bertindak sebagai menteri atau utusan parti.
“Anthony Loke bukan Menteri Luar, bukan Perdana Menteri. Tapi dari gaya beliau menyampaikan “salam antara parti”, mengangkat semangat kebangkitan China, seolah-olah beliau bertindak sebagai duta DAP, bukan menteri Kabinet Malaysia.
“Tindakan ini membuka persoalan, adakah ia satu usaha terselindung mempromosi hubungan ideologi antara DAP dan Parti Komunis China (CCP),” menurut kenyataan itu.
GPS turut mempersoal cenderahati yang diberi dengan simbol naga dan bukan lambang Malaysia seperti bunga raya, keris atau Harimau Malaya.
“Kenapa pilih naga (simbol klasik budaya China) sebagai ukiran utama dalam cenderamata rasmi? Di mana simbol Malaysia? Kita ada Harimau Malaya, wau bulan, keris, bunga raya.
“Lebih membimbangkan, istilah “Angin Timur” bukan sekadar madah sastera tapi ia simbol kebangkitan ideologi China ke atas Asia.
“Mengangkatnya sebagai harapan kepada Presiden Xi adalah satu kenyataan politik yang berani tapi bukan atas kapasiti negara,” menurut kenyataan itu lagi.
GPS menjelaskan, ia bukan sekadar soal hadiah tetapi soal identiti, protokol negara dan kebijaksanaan sebagai pemimpin.
“Anthony Loke menghadiahkan pinggan timah Royal Selangor yang diukir naga dan lapan aksara Cina “东风浩荡,实干兴邦” yang bermaksud “Angin timur bertiup kencang, kerja keras memajukan negara,” katanya.
Menurut Loke beliau berbual secara peribadi dengan Presiden Xi tentang ukiran itu, dan menyampaikan “salam antara parti”, sambil menyatakan harapan agar Xi terus memimpin “gelombang angin timur” dan menjadi teladan kepada Asia dan dunia.
Mengulas lanjut, GPS berkata tindakan menyerahkan cenderamata tanpa kelulusan protokol rasmi negara adalah pelanggaran tata cara diplomatik, lebih buruk lagi apabila ia dikongsi secara terbuka di media sosial, seolah-olah mempromosi hubungan peribadi dan imej parti.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi