Oleh: Akmal Ahmad
BANGI,18 SYAWAL – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mula mengambil warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi memperkukuh aspek disiplin serta membanteras kes buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu telah dibangkitkan dalam Majlis MARA dan dipersetujui sebulat suara.
“Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini.
“Kerjasama juga akan dilakukan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan.
“Bahagian Pendidikan Menengah MARA juga akan menyediakan garis panduan yang jelas berkenaan terma-terma rujukan (TOR) tanggungjawab dan bidang tugas Warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Katanya lagi, inisiatif itu penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Ini juga bagi memastikan matlamat MARA untuk sifar buli di MRSM benar-benar mampu direalisasikan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi