Oleh: Akmal Ahmad
BANGI, 18 SYAWAL – Lesen operasi penyiaran akhbar Sin Chew Daily wajar digantung sekurang-kurangnya enam bulan atas kesalahan berat yang telah dilakukan berhubung ilustrasi bendera Jalur Gemilang baru-baru ini.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, hukuman itu adalah sewajarnya kerana kesilapan yang dibuat sama ada secara sengaja atau tidak itu telah mencetuskan kemarahan masyarakat negara.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Perak digantung enam bulan kerana menyinggung perasaan DAP. Walaupun dia dah minta maaf, dia tetap dihukum.
“Akhbar Sin Chew menyinggung perasaan rakyat Malaysia, orang Melayu terutamanya, kerana menyiarkan gambar bendera Malaysia tanpa bulan sabit.
“Bulan sabit melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Sin Chew minta maaf. Maaf tu satu hal. Tapi sekurang-kurangnya gantunglah lesennya selama 6 bulan.
“Kedua-duanya isu bendera. Jangan buat macam KK Mart, minta maaf dilepas dan dibebas dengan bayar denda sahaja,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Sin Chew menerbitkan ilustrasi muka depan memaparkan sebuah jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi