Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 18 SYAWAL – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung tindakan seorang individu memuat naik komen berunsur penghinaan ketika istiadat pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, komen tidak bertanggungjawab itu dikesan di laman Facebook Astro Awani pada 15 April lalu.
Katanya, komen tersebut jelas memperlekehkan serta mempermainkan ajaran Islam, khususnya pada saat penuh hiba dan penghormatan terhadap pemergian seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada negara.
“Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati perasaan masyarakat Islam khususnya pihak keluarga Allahyarham.
“Susulan itu, JAKIM telah mengambil tindakan segera dengan membuat laporan rasmi kepada SKMM agar siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, komen berunsur penghinaan itu bukan sahaja mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat Islam, malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.
“Lebih-lebih lagi apabila individu terbabit dikenal pasti berkemungkinan tidak menetap di Malaysia.
“Semua pihak digesa untuk menghentikan sebarang bentuk hantaran atau komen yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi