DAP mahu tarik penyertaan anak muda, apa reaksi parti politik Melayu?

Oleh: Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 18 SYAWAL – Hasrat DAP untuk menarik lebih ramai anak muda Melayu menyertai parti itu menimbulkan persoalan mengenai tindak balas parti-parti Melayu dalam berdepan dengan landskap politik yang semakin berubah.

 

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menzahirkan hasrat parti itu selepas dilantik ke dalam Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, memandangkan keahlian Melayu dalam parti itu masih kurang 10%.

 

Penganalisis sosio-politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak mengakui parti Melayu perlu secara aktif mencabar dan merombak sistem “warlord” yang telah lama berakar dalam budaya politik mereka. 

 

Selain daripada membuka ruang kepimpinan, parti-parti Melayu juga perlu secara aktif mencabar dan merombak sistem “warlord” yang telah lama mengakar dalam budaya politik mereka. 

 

“Sistem yang sedia ada sering kali menguntungkan pemimpin yang sudah lama berkuasa, mengakibatkan monopoli kuasa dan menghalang peluang untuk pemimpin muda menonjol. 

 

“Oleh itu, pelaksanaan proses pemilihan yang lebih demokratik dengan menghapuskan sistem kuota pencalonan yang biasanya menguntungkan pemimpin berpengalaman menjadi satu keperluan mendesak,” katanya kepada TV Pertiwi. 

 

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan penetapan kuota minimum untuk ahli di bawah umur 40 tahun dalam badan kepimpinan tertinggi seperti Majlis Tertinggi UMNO atau Jawatankuasa Pimpinan PAS Pusat, selain mengehadkan tempoh jawatan untuk posisi-posisi utama parti. 

 

Muhammad Afifi memberi amaran bahawa kejayaan DAP dalam merekrut dan memberikan platform kepimpinan kepada pemimpin muda Melayu seperti Syahredzan dan Young Syefura seharusnya menjadi pengajaran berharga untuk UMNO dan PAS. 

 

“Hakikat bahawa Syahredzan memperoleh 2,065 undi dan Young Syefura mendapat 1,943 undi dalam pemilihan parti DAP, walaupun keahlian Melayu dalam parti itu kurang daripada 10 peratus, merupakan bukti kukuh bahawa apabila diberi peluang, pemimpin muda Melayu boleh mendapat sokongan meluas tanpa mengira latar belakang etnik pengundi,” katanya. 

 

Ujar beliau, parti Melayu perlu sedar bahawa generasi muda mempunyai nilai, aspirasi dan kebimbangan yang berbeza daripada generasi terdahulu. 

 

Sementara itu, pemerhati politik Azizi Safar berkata, politik legasi keluarga dan “warlords” lebih ketara dalam DAP berbanding parti-parti besar yang lain.

 

“Cumanya, DAP lebih memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk bertanding dalam pilihan raya, berbanding Umno khususnya,” kata bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang itu. 

 

Namun katanya, DAP sukar menarik minat orang Melayu memandangkan parti itu tidak bertanding di kawasan-kawasan majoriti pemilih Melayu.

 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, pengundi Melayu mengalihkan sokongan kepada blok Perikatan Nasional (PN) yang kini merupakan blok pembangkang dengan Pas menjadi parti tunggal terbesar menerusi 43 kerusi yang dimenanginya. 

 

Umno yang mendapat sokongan kaum Melayu semenjak merdeka, tewas dengan teruk apabila sekadar meraih 26 kerusi daripada 30 yang dimenangi BN.

 

Azizi berkata Pas pada masa ini mendapat sokongan kuat orang-orang muda Melayu, jauh mengatasi sokongan kelompok sama kepada Umno.

 

“Apakah perlu PAS dan UMNO melakukan anjakan paradigma? Ya, terutamanya Umno. Kedua-dua parti perlu melakukan reformasi yang sebenarnya, bukan sekadar retorik. 

 

“Peremajaan parti perlu dilihat benar-benar berlaku dan dilaksanakan oleh pimpinan,” katanya.

 

Tambah Azizi, Pas perlu beralih dari terus memainkan isu agama dan kaum semata-mata. 

 

Semantara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, golongan Melayu yang menyertai parti itu mempunyai salah dari segi kefahaman tentang ajaran Islam dan sejarah tanah air, selain mengejar jawatan.

 

“Orang Melayu yang ada asas pendidikan agama yang kukuh takkan jadi ahli parti yang memperjuangkan liberalisme dan sekularisme, apalagi kalau ada unsur pluralisme dan evangelisme.

 

“Orang Melayu yang belajar dan faham sejarah tanah air tidak akan terkinja-kinja menjadi ahli parti yang mengidolakan pengganas Parti Komunis Malaya,” katanya.

 

Bagaimanapun, pengkritik sebelum ini mengatakan parti-parti Melayu lebih cenderung dengan budaya “warlord” sehingga menyukarkan golongan muda untuk diberi peluang.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

 

#politik #DAP #Melayu #anakmuda #pemerhati

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

MARA ambil bekas pegawai tentera, tentera jadi warden banteras buli

Next Post

Kebun durian haram: Tolak sebarang bentuk pemutihan atau pemajakan tanah – MCW

Related Posts