Oleh: Balqis Idris
BANGI, 17 SYAWAL — Kesilapan memaparkan Jalur Gemilang secara salah tidak boleh dimaafkan begitu mudah dan perlu diambil tindakan tegas, kata Gabungan NASIONALIS.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penghinaan terhadap kedaulatan negara kerana melibatkan simbol rasmi dan maruah Malaysia.
“Ini satu kesilapan yang sangat besar, kerana yang pertama, bendera itu adalah lambang negara yang menjadi kebanggan dan simbol kepada kemuliaan kepada negara kita.
“Kesilapan seperti ini saya rasa tidak boleh diterima dan harus diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa kerana ini bukan kali pertama, sudah banyak kali pelbagai pihak melakukan kesilapan ke atas bendera ini seperti bendera terbalik dan sebagainya,” katanya kepada TV Pertiwi.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China tidak lengkap apabila tidak diletakkan bulan sabit.
Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, hari ini mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit dalam akhbar mereka.
Dalam pada itu, Aminuddin meluahkan rasa hairan terhadap kesilapan oleh pihak akhbar berkenaan memandangkan syarikat itu sudah lama beroperasi di negara ini.
Justeru, katanya, sekadar permohonan maaf adalah tidak mencukupi kerana syarikat itu sepatutnya lebih peka berhubung perkara ini kerana tahu implikasinya terhadap rakyat di negara ini.
“Bagi saya, ini satu perkara yang tidak wajar dan saya harap kerajaan tidak mengambil sikap berlembut dan kompromi dalam perkara ini atas dasar nak ‘jaga hati’ pihak tertentu,” katanya.
“Pemerintah perlu mengambil satu tindakan yang betul-betul tegas, jangan berdolak dalih. Sudah banyak kali perkara ini berlaku,” tambahnya,
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi