Oleh: Akmal Ahmad
BANGI,17 SYAWAL –
Berita mengenai penahanan mantan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berhubung kes rasuah berkaitan konsesi tambakan laut mengundang banyak persoalan, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, penahanan Mohamad Ali itu disifatkan sebagai ‘pelik’ terutama apabila kes itu didakwa berlaku ketika beliau masih bersama UMNO namun dikecohkan semula apabila sudah meninggalkan parti itu dan menyertai parti lawan.
Tambahan pula, berita itu dihebohkan ketika sedang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Perak.
“Berdasarkan rekod, dalam Oktober 2021, Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Adam pernah membuat laporan dan mengemukakan bukti kepada SPRM berkaitan kemungkinan berlakunya rasuah dalam pemberian konsesi pasir di Melaka.
“Ketika itu, kerajaan negeri Melaka berada di bawah kerajaan BN dan Ketua Menterinya adalah Datuk Seri Sulaiman Ali.
“Secara tiba-tiba, cerita lama ini muncul semula, mungkin kerana Datuk Seri Ali tidak lagi berada dalam UMNO dan mungkin juga kerana dia sudah menyertai BERSATU dan Perikatan Nasional,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menyiasat Ketua Menteri pada ketika itu dah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang merupakan Ketua Badan Perhubungan UMNO Melaka.
Beliau juga hairan mengapa Mantan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Harun tidak disiasat sedangkan namanya turut disebut dalam laporan polis dan SPRM sebelum ini.
“Mungkin sekiranya Datuk Seri Ali masih berada di dalam UMNO, ceritanya jadi berbeza.
“Saya ingatkan pihak SPRM agar menyuasat perkara ini dengan telus dan tuntas.
“Pastikan semua pihak yang terbabit, pemberi, penerima dan yang bersubahat dikesan, disiasat dan didakwa bersama dengan adil,” tegas beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi