Oleh Akmal Ahmad
BANGI,17 SYAWAL- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi.
Beliau berkata, cadangan itu bagi mengenang jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
“Insyaallah dalam masa terdekat saya sudah minta pihak pengurusan MARA menyediakan kertas cadangan untuk menamakan MRSM Ulul Albab Kepala Batas dengan nama MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Zahid yang bertanggungjawab terhadap MARA.
“Antara justifikasi penting bukan sahaja mengenang jasa Almarhum Tun Abdullah atau Pak Lah selaku bekas Perdana Menteri Malaysia.
“Bahkan zaman beliaulah agenda Ulul-Albab ini mula diperkenalkan bagi membangunkan modal insan yang seimbang dan holistik bukan sahaja dalam ilmu sains dan teknologi tetapi menguasai Al-Quran di bawah dasar Islam Hadhari.
“Sebab itulah Pak Lah dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir pada 7.10 malam Isnin di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Jenazah Tun Abdullah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara semalam, mengikut Istiadat Pengebumian Negara yang turut dihadiri pemimpin tertinggi negara, kenamaan serta rakyat pelbagai lapisan masyarakat bagi memberikan penghormatan terakhir.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi