Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 17 SYAWAL —
Ramai paramedik dan anggota penyelamat yang terbunuh di Gaza pada bulan lalu telah ditembak di bahagian kepala atau dada, lapor The New York Times.
Media antarabangsa itu mengesahkan perkara tersebut selepas meneliti laporan bedah siasat terhadap 14 daripada 15 pekerja bantuan yang terbunuh dalam serangan tersebut.
Ini secara langsung menjadi bukti bahawa mereka sengaja dibunuh oleh tentera negara haram Israel yang sebelum ini menafikan perkara terbabit.
“Sebahagian besar paramedik dan anggota penyelamat yang terbunuh di Gaza bulan lalu telah ditembak di bahagian kepala atau dada.
“Bedah siasat itu dilakukan oleh Dr Ahmad Dhair, ketua unit perubatan forensik di Kementerian Kesihatan Gaza, selepas mayat-mayat mangsa ditemui semula dari lokasi di selatan Gaza, tempat di mana mereka telah ditanam oleh tentera Israel bersama ambulans mereka,” lapor The New York Times.
Bedah siasat yang dijalankan ini mengesahkan bahawa kebanyakan mangsa ditembak di bahagian kepala atau dada, sekali gus menyokong laporan bahawa para petugas bantuan tersebut telah “dihukum bunuh” oleh tentera Israel.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi