Oleh Akmal Ahmad
BANGI,17 SYAWAL – Kerajaan dan pemimpin yang sepatutnya merancang perjalanan mereka, bukan menyusahkan rakyat hanya semata-mata untuk memudahkan pemimpin luar negara ketika melawat ke Malaysia, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz
Beliau berkata, keluhan netizen di media sosial yang terpaksa berdepan kesesakan di jalan raya akibat penutupan beberapa jalan utama disebabkan lawatan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping ke Malaysia menjadi bukti kerajaan gagal mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pengguna jalan raya yang terjejas akan mentafsirkan situasi ini sebagai usaha ‘menjaga hati’ pemimpin luar negara sebagai lebih penting berbanding dengan kesenangan rakyat sendiri.
“Apa yang bagus? Semalam dan pagi ni memang PM10 dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN) mendapat caci maki hamun daripada rakyat yang tersangkut dalam perjalanan.
“Ini satu lagi bukti yang kerajaan ini tidak tahu menguruskan negara dan tak tahu merancang program melibatkan pemimpin China.
“Ini juga adalah ciri-ciri jelas kerajaan madanon selagi tak menyusahkan dan membebankan rakyat, memang bukan Anwar dan kerajaan ketimbang PH-BN.Ada je idea mereka nak menyusahkan hidup rakyat,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada Ahad memaklumkan penutupan penuh dan lencongan trafik akan dilaksanakan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan sementara waktu bermula Selasa hingga Khamis, sempena lawatan rasmi Xi Jinping ke Malaysia.
Antara laluan yang terlibat termasuk beberapa lebuh raya utama seperti Lebuh Raya ELITE, MEX, SUKE, NPE, KESAS dan Smart Tunnel, selain jalan-jalan utama di Putrajaya seperti Persiaran Selatan dan Lebuh Gemilang.
Penutupan dan lencongan jalan ini merupakan sebahagian daripada langkah keselamatan dan persediaan protokol rasmi semasa ketibaan dan pergerakan delegasi kenegaraan Presiden Xi sepanjang lawatan beliau ke negara ini.
Bagaimanapun penutupan jalan itu menyusahkan pengguna jalan raya yang rata-rata mula membanjiri media sosial untuk berkongsi keadaan trafik yang dikatakan sangat sesak dan luar biasa di beberapa kawasan utama.
Rata-rata pengguna jalan raya memuat naik gambar dan video yang menunjukkan barisan kenderaan yang panjang serta kesesakan yang teruk, khususnya ketika waktu pulang kerja.
Menurut perkongsian beberapa pengguna media sosial, ada laluan yang telah mula ditutup seawal jam 5.30 petang, sekali gus menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan dan sesak.
Terdapat juga aduan daripada pengguna jalan raya yang terkandas lebih sejam di lokasi tertentu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi