Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 17 SYAWAL – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memanggil pihak akhbar Sin Chew Daily bagi tujuan siasatan berkaitan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, siasatan dijalankan bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” kata KDN dalam kenyataan.
Selain itu, katanya, satu Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan.
KDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
Semalam, Sin Chew menerbitkan ilustrasi muka depan memaparkan sebuah jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi