Oleh Wartawan Tv Pertiwi
BANGI,17 SYAWAL – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Razman Zakaria daripada menghadiri persidangan DUN selama selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.
Usul tersebut dibentangkan Ong Boon Piow (PH-Bercham) yang kemudiannya disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.
Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol itu dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.
Sinar Harian melaporkan, penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan.
Pada 4 Disember lalu, DUN Perak meluluskan usul membawa Razman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar pada 2 Disember.
Keputusan itu dibuat Mohammad Zahir selepas usul dibawa ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dipersetujui.
Sebelum itu, Jason bangkit dan memaklumkan Ketua Pembangkang DUN itu telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera Negara China dikibarkan di Teluk Intan.
Katanya, pada 2 Disember 2024 semasa Persidangan Kedua, Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Perak ke-15 Razman sewaktu berucap telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
Mohammad Zahir berkata, berdasarkan kepada Perintah Tetap Peraturan 40 (3) (a) dan (b), beliau berpendapat, ada merit kepada usul tersebut dan bersetuju untuk merujuk ADUN Gunung Semanggol ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi