Oleh Akmal Ahmad
BANGI,16 SYAWAL- Universiti Teknologi MARA (UiTM) tampil memberi penjelasan berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan pelajar mengenakan pakaian menyerupai kostum Ku Klux Klan (KKK) dalam satu sesi pembentangan yang tular di media sosial.
UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, video berkenaan merakam sebahagian daripada sesi pembentangan tugasan akademik oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, bagi kursus Contemporary Global and Legal Issues.
“Tugasan berkenaan bertujuan untuk menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
“Dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
“Kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
“Pendekatan visual yang digunakan adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas, selaras dengan objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” menurut kenyataan itu.
Pensyarah dan pihak fakulti yang bertanggungjawab turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal dan berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya mahupun perkauman.
“UiTM juga menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menitikberatkan nilai sejagat seperti toleransi, hormat-menghormati dan kepekaan antara budaya dalam semua aktiviti akademik dan kokurikulum.
“Institusi ini kekal komited terhadap pendekatan pendidikan yang bertanggungjawab, beretika, dan berorientasikan pemikiran kritikal demi membentuk generasi pelajar yang matang dan peka terhadap isu global.
“Kami berharap penjelasan ini dapat menceritakan keadaan sebenar dan menamatkan salah tafsir terhadap tugasan yang dijalankan. UiTM akan terus memperkasakan pengalaman pembelajaran pelajar secara holistik dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 15 saat memaparkan sekumpulan pelajar universiti itu mengenakan kostum KKK dalam satu sesi pembentangan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi