Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 16 SYAWAL – PAS Pahang menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk segera untuk menyiasat kegiatan pencerobohan berskala besar di tanah milik Kerajaan Negeri yang sudah berlangsung selama 40 tahun tanpa sebarang tindakan.
Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Rosli Abdul Jabar menuntut demikian sambil membangkitkan persoalan sekiranya terdapat pihak yang bersubahat atau melindungi aktiviti kebun durian haram di Raub.
“Siapa yang melindungi? Siapa yang bersubahat?
Dan yang paling penting, siapa pegawai-pegawai kerajaan yang secara langsung atau tidak gagal menjalankan tugas mereka selama empat dekad?
“Semua pihak yang terlibat, dari penceroboh hingga pegawai-pegawai yang berkompromi harus ditahan, disiasat dan didakwa tanpa kompromi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tegas beliau, tindakan tegas itu adalah satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan undang-undang dan menghormati titah Sultan Pahang.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan tindakan kumpulan Save Musang King Alliance (SAMKA) mengumpul dan menyerahkan 400 tandatangan kepada Perdana Menteri dan Sultan pahang adalah satu bentuk penderhakaan terang-terangan terhadap kedaulatan negeri.
Katanya, ia bukan sekadar permohonan biasa, tetapi satu cubaan terancang untuk menggugat titah Sultan Pahang yang telah jelas mempertahankan tanah milik kerajaan negeri daripada pencerobohan haram yang telah berlangsung selama 40 tahun.
“Apa yang berlaku di Raub bukan tentang ‘petani kecil’ seperti gambar yang cuba diberikan.
“Ia adalah jenayah terancang yang melibatkan kawasan beribu-ribu ekar yang dirampas secara haram.
“Bayangkan jika anda memiliki sebidang tanah, kemudian seseorang datang, merampas dan mengusahakannya selama 40 tahun dan kini ada pula pihak ketiga yang menandatangani petisyen agar perampas itu dibenarkanterus merampas harta anda.
“Adakah ini adil? Adakah ini dipanggil keadilan?” soalnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984 jelas menyatakan bahawa pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda RM500,000.
Namun beliau menyifatkan tindakan SAMKA seolah-olah menganggap undang-undang tersebut tidak wujud.
“Mereka yang menandatangani petisyen dengan sengaja melindungi dan menyokong penjenayah dan dengan itu seharusnya didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam jenayah.
“Seperti kumbang yang mendekati api, mereka yang menandatangani petisyen ini sedang bermain dengan kedaulatan undang-undang,” tambah beliau
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi