Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 16 SYAWAL – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Duli-Duli Tuanku turut menzahirkan perutusan takziah kepada waris dan keluarga Perdana Menteri kelima itu khususnya balu, Tun Jeanne Abdullah.
“Tuanku Sultan yang telah mengenali Allahyarham Tun Abdullah sejak lewat tahun 1960an, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang negarawan yang berdedikasi dan tenang serta diingati sebagai seorang pemimpin yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat.
“Dia atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengurniakan Allahyarham Tun Abdullah dengan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada tahun 1992 dan Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) pada 2000.
“Duli-duli tuanku mendoakan agar roh Allahyarham Tun Abdullah dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di kalangan para solihin,” demikian hantaran Facebook Selangor Royal Office.
Dalam hantaran itu juga, turut dikongsikan gambar Abdullah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri menghadap Sultan Sharafuddin semasa baginda menjadi Pemangku Raja Selangor di Istana Mestika pada 2001.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi