Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 16 SYAWAL – Rakyat mahukan kerajaan yang berpendirian tegas ketika berhadapan dengan masalah negara, bukan berdolak dalih dengan pelbagai alasan demi menjaga ‘keharmonian’, kata Gabungan NASIONALIS.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, ketegasan kerajaan juga akan membuatkan rakyat lebih menghormati kepada pemimpin serta menjauhkan diri daripada melakukan rasuah atau menyalahgunakan kuasa.
“Tular di media sosial isu seorang MP (wakil rakyat) Thailand dilarang terlibat dalam politik seumur hidup dan dilarang mengundi selama 10 tahun.
“Ini disebabkan beliau telah menyalahgunakan tanah yang digazetkan sebagai hutan simpanan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Contoh ketegasan lain yang diambil turut merujuk kepada hukuman berat di Singapura membabitkan jenayah rasuah yang menyebabkan negara itu antara negara di dunia yang tidak terpalit dengan isu rasuah.
Selain itu, katanya, tindakan oleh bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang membunuh 6,248 penagih dan pengedar dadah di negara itu.
Beliau berkata, hasilnya, mereka yang terlibat dengan dadah berkurang sebanyak 16.68% dan dilaporkan 70% rakyat negara itu menyokong tindakan tegas itu.
“Inilah ketegasan yang kita maksudkan yang perlu kerajaan lakukan, maka barulah rakyat takut melakukan rasuah atau menyalahgunakan kuasa.
“Malah rakyat akan lebih hormat kepada pemimpin negara. Bukan berdolak dalih dengan macam-macam alasan untuk jaga keharmonian.
“Ini bukan saja salah, malah dah menarah ke akar umbi. Kenapa harus kita biarkan?” soal beliau.
Tambah beliau, mana-mana individu tanpa mengira pangkat, jawatan atau bangsa wajar diheret ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan kesalahan.
“Tak payah tunggu Sultan murka baru nak ambil tindakan,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi