Oleh: Balqis Idris
BANGI, 16 SYAWAL — Calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dilihat mempunyai peluang tipis untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Beberapa penganalisis berpandangan, meskipun calon PSM, Bawani KS mampu meraih undi dalam kalangan pengundi protes, namun ia berkemungkinan besar tidak dapat menyaingi pengaruh yang dibawa oleh gabungan politik gergasi seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kelainan PSM untuk menampilkan calon wanita yang juga bukan Melayu serba sedikit mempunyai daya tarikan tersendiri tetapi tidak cukup untuk menembusi kerusi kubu BN itu.
“Bukan sahaja mengetengahkan calon bukan Melayu, PSM juga menampilkan calon wanita. Kita lihat PN dan BN masih menampilkan calon lelaki, dan dalam konteks ini, kelompangan dari segi gender diisi oleh PSM.
“Saya kira ini merupakan strategi mereka untuk menarik sokongan pengundi, khususnya dari segi representasi gender,
“Pada pandangan saya, untuk meraih 1,000 undi sangat mencabar bagi mereka (PSM).,” katanya kepada TV Pertiwi.
Terdahulu, sejurus selesai proses penamaan calon, PRK menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada BN, PN dan PSM.
BN diwakili oleh Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54 tahun, manakala PN menampilkan Pengerusi PN Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44 tahun, sebagai calon dan PSM pula diwakili oleh Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS, 40 tahun.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali berkata PSM melihat penyertaan PSM pada PRK ini hanya sekadar melengkapkan proses demokrasi berbanding memberi saingan sebenar kepada parti BN dan PN.
Katanya, meskipun calon PSM, Bawani merupakan pemimpin kanan parti, kehadirannya tidak membawa harapan besar untuk menang.
“Bawani sebelum ini sudah bertanding di pilihan raya lepas dan kalah di lima penjuru. Dia juga hilang orang pertaruhan.
“Di Malaysia, tiga sahaja yang rakyat pilih iaitu BN, PN dan Pakatan Harapan. Ini sahaja. Parti lain sudah tidak relevan dalam konteks Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi