Oleh: Akmal Ahmad
BANGI,16 SYAWAL – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar kehilangan seorang tokoh negara, bahkan gugurnya bintang dari langit sejarah bangsa.
“Allahyarham bintang yang menyuluh jalan dengan cahaya keikhlasan, kejujuran dan kasih terhadap rakyat serta agamanya.
“Tun Abdullah, atau Pak Lah dalam sebutan penuh mesra, adalah lambang kepimpinan yang mendamaikan. Dalam kegawatan zaman dan kecamuk politik, beliau tampil bukan dengan gelegak suara atau tikaman kata, tetapi dengan sejuknya jiwa, teduhnya akal dan beningnya hati.
“Ketenangannya adalah kekuatan, dan diamnya mengandungi hikmah. Dalam dunia yang semakin lantang dan kasar, beliau mengajarkan kita makna keberanian dalam kelembutan, ketegasan dalam kesantunan, dan kekuatan dalam kebijaksanaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, keperibadian beliau tidak tumbuh dari ruang kosong. Ia berakar dari susur galur yang mulia.
“Datuknya Tuan Guru Haji Abdullah Fahim, adalah ulama besar yang pernah menjadi Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama, seorang murabbi umat yang disegani, penentu tarikh kemerdekaan yang penuh barakah.
“Ayahandanya pula, Ahmad Badawi, merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama, mewakili semangat juang Islam yang menyala dalam dada pemuda-pemuda watan. Maka dari darah dan didikan itulah, Pak Lah dibentuk seorang teknokrat Islami, seorang pemimpin yang menjunjung warisan ruhani,” katanya.
Tambah Ahmad Fadhli, antara sumbangan terbesarnya ialah memperkenalkan program J-QAF pada tahun 2005 iaitu sebuah gagasan pemulihan pendidikan Islam yang menyeluruh dan futuristik.
“Di bawah program ini, pengajaran Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain dimartabatkan kembali dalam sistem pendidikan kebangsaan, melahirkan generasi yang bukan sekadar celik huruf al-Quran, tetapi menghayatinya sebagai panduan hidup.
“Inilah antara legasi teragung beliau kepada pendidikan Islam di negara ini, yang akan terus hidup dan berkembang di bawah langit Malaysia,” ujarnya.
Tambah Ahmad Fadhli, Pak Lah telah membawa nilai Islam dalam pentadbiran negara bukanlah suatu yang mustahil bahkan boleh dilaksanakan dengan pendekatan berhikmah dan bersifat menyatukan.
Allahyarham juga seorang pemimpin yang bersih daripada kontroversi, menjunjung maruah dan kesantunan dalam politik dan kehidupan peribadi.
Allahyarham semasa hidupnya juga bukan seorang yang gemar menuding jari dan bukan seorang yang membakar jambatan silaturahim.
“Beliau tidak membina kemegahan di atas kejatuhan orang lain tetapi mengangkat nilai dalam diam, membina negara dengan hikmah dan mendidik melalui contoh. Pemimpin seperti ini bukan sahaja sukar dicari bahkan amat dirindui tatkala negara kini ketandusan teladan yang luhur.
“Maka dengan rasa rendah hati dan linangan doa, kita memohon kepada Allah SWT agar allahyarham diampunkan segala dosanya, diluaskan kuburnya, dan diangkat ke darjat tertinggi di sisi-Nya.
“Semoga segala amalnya diterima, segala khidmatnya dicatat sebagai amal soleh, dan segala warisannya menjadi bukti cinta beliau kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi