Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 16 SYAWAL — Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Gabungan Selamatkan Musang King (SAMKA), Wilson Chang dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Terdahulu, mereka ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian pada minggu lepas.
Mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 11.30 pagi tadi.
Menurut Yu Hui, penahanan mereka demi mempertahankan suara pekebun durian di Raub dan menggesa kerajaan Pahang segera menghentikan tindakan penebangan.
“Para pekebun sebenarnya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri. Sejak lima hingga enam dekad lalu, mereka telah berusaha memohon geran tanah dan permit penanaman sementara.
“Sekalipun kini wujud campur tangan syarikat besar, asalkan pekebun dilayan dengan adil, kami sedia untuk duduk berbincang dan menjalin kerjasama,” katanya.
Pihak berkuasa, termasuk polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), melancarkan operasi di kawasan kebun yang diteroka secara haram, yang dijangka diteruskan hingga 3 Mei.
Dalam perkembangan sama, Chang memaklumkan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan menerima layanan mesra serta profesional sepanjang siasatan dijalankan.
Namun, beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap penebangan pokok durian yang didakwa berterusan walaupun perintah mahkamah masih berkuat kuasa.
“Kami para pekebun mematuhi undang-undang tetapi ada pihak yang terang-terangan melanggar perintah mahkamah, terus menebang pokok dan memusnahkan titik peluh pekebun.
“Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan, tetapi mestilah atas asas keadilan dan saling menghormati,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi