Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 13 SYAWAL — Kebuluran di Gaza hampir pasti apabila bayi yang dilahirkan kini dihambat dengan kekurangan zat makanan.
Samia Ashour, 35, yang menyambut kelahiran bayi lelakinya 50 hari lalu mendakwa, anaknya itu masih di bawah dua kilogram, lapor agensi Xinhua.
“Saya menyusukannya setiap hari tetapi dia makin kurus di depan mata saya. Bayi ini tidak bersalah kenapa mereka perlu menderita begini?
“Saya hanya mahu dia terus hidup. Saya melahirkannya ke dunia dan kini saya hanya mampu melihat nyawanya melayang perlahan-lahan,” katanya sambil menyapu air mata.
Anak Samia yang dinamakan Ibrahim itu hampir tidak bergerak, matanya tidak mampu menjejaki pergerakan sementara ibunya kelihatan cengkung dan sugul.
Samia hanya mampu mendodoi perlahan-lahan seolah-olah berharap anaknya kembali bertenaga walau ibu kepada empat orang anak itu mengalami kekurangan zat makanan.
Katanya, sepanjang tempoh kehamilan, dia hanya bergantung kepada satu hidangan ringan setiap hari.
“Itu sahaja makanan yang kami ada. Tiada sayur, tiada protein, tiada susu. Kalau saya ada duit sekalipun, tiada apa yang boleh dibeli. Pintu sempadan ditutup. Rak-rak di kedai kosong.
“Adakah dilahirkan sebagai rakyat Palestin kini umpama hukuman mati?” soalnya sambil memaklumkan berat Ibrahim ketika dilahirkan kurang daripada satu kilogram.
Lintasan Kerem Shalom yang menjadi laluan di antara Israel dan Gaza ditutup sejak awal bulan lalu selepas tiada lanjutan fasa pertama gencatan senjata.
Sejak dari itu, tiada trak bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza untuk membawa makanan, ubat-ubatan atau susu formula kepada dua juta rakyat Palestin.
Sementara itu, seorang lagi ibu yang baru melahirkan bayi perempuannya di Hospital Al-Ahli Arab di Bandar Gaza turut mengalami keperitan sama.
Reham Khamis, 29, berkata anaknya, Rana yang baru berusia 20 hari mengalami kekurangan zat makanan dan lemah dalam pergerakan.
“Anak perempuan saya tidak menangis. Tidak bergerak. Hanya matanya sahaja yang terbuka dan tertutup. Dia kebuluran. begitu juga kami.
“Ini bukan lagi perang antara tentera. Ini adalah perang terhadap kanak-kanak,” katanya.
Kesukaran mendapatkan susu formula memaksa ibu di Gaza mencampurkan bahan pengganti yang tidak selamat dengan air tercemar yang mampu membawa kemudaratan.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan lebih 60,000 kanak-kanak kini berisiko mengalami komplikasi serius akibat kekurangan zat makanan.
Jabatan Pediatrik Hospital Nasser mendakwa ramai bayi di Gaza kini mengalami susut berat badan dan tumbesaran terbantut.
Ketuanya, Dr Ahmed Al-Farra berkata ada ibu bapa yang terpaksa memberi susu formula tidak sepadan yang khasiatnya tidak mencukupi malah boleh memudaratkan bayi.
Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula menegaskan tanpa akses bantuan kemanusiaan segera, lebih ramai kanak-kanak akan mati.
Katanya, hampir 10,000 bayi berusia bawah enam bulan kini sangat memerlukan sokongan pemakanan yang betul termasuk susu formula.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi